2.4.09

17 hari berlalu...

Semalam selepas anak-anak mama tidur, mama menangis sepuas hati mengenangkan anak-anak mama yang teramat merindui papa...

Minggu pertama, Jat dan Syafiq kerap mengalirkan airmata mengenangkan papa nun jauh di Arab Saudi. Abang cukup tabah pada minggu pertama. Mungkin pada Abang papa hanya ke Arab Saudi sekejap sahaja walaupun beberapa kali mama memperingatkan Abang, papa pergi 100 days. Abang faham 100 tu maksudnya lama.."Hari ni dah 7 days papa pergi Arab Saudi ye mama?". Setiap hari Abang menghitung hari..

Semalam bila dengar azan Isyak, Abang ajak Ayah Cik ke surau. Ini kali pertama Abang menjejakkan kaki ke surau setelah papa ke sana. Pernah sekali Ayah Cik ajak Abang dan Jat ke surau, hanya Jat yang ikut. Abang tak nak ikut. Abang cakap, "Abang pergi surau dengan papa je.."

Citer Ayah Cik, "Jat dok surau senyappp jah k.da, tok mace skalo. Jat dok selo termenung belake. Kalu sokmo dia main nga kucingla, bisingla. Ado la jemaah hok kenal2 Jat kuit ajok Jat duduk atas riba. Jat tok se. Kalu sokmo maso sale, Jat ake sale nga semua jemaah. Ni dok, dio dok tepek nga cik." Jat tunjuk cara duduk kat surau, Jat bersila sambil kedua-dua tangan menongkat dagu. Mama tahu Jat terkenangkan papa. Jat tak pernah tuang ikut papa ke surau.

Mama tak tahu Abang ajak Ayah Cik ke surau semalam sebab Abang terkenangkan papa. Jat pun ikut sama walaupun tidak begitu sihat. Jat sudah 2 hari demam dan tidak ke sekolah. Surau adalah tempat yang cukup menggamit kenangan bersama papa buat Abang dan Jat. Kalau dulu, Abang dan Jat sentiasa ikut papa ke surau, kerap kena marah dek papa sebab bising dan tak ikut solat bersama. Jemaah yang agak berusia sentiasa menenangkan papa agak tidak marah pada Abang dan Jat yang sentiasa ikut papa ke surau. Kata mereka, anak2 yang bising inilah yang akan sentiasa ke surau bila mereka besar esok2 berbanding dengan yang diam sahaja. (Insyaallah...). Walaupun kerap kena marah, pada Abang dan Jat, itulah kenangan termanis bersama papa...

Pulang dari surau Abang merengek-rengek memanggil-manggil nama papa. Bila mama ajak Abang, Jat dan adik2 masuk tidur, Abang tanya mama, "Mama, esok 2 April ye?". Mama jawab ye. "Papa balik bulan Aprilkan mama?". Mama ingatkan Abang yang papa pergi lama, "100 days, remember? Papa mungkin balik dalam bulan Jun". Abang protes, "Abang nak sekolah di Arab Saudi, Abang tak nak sekolah kat sini..". Abang mula rasa sedih. "Mama, dada Abang sakit..." rintih Abang antara dengar dan tidak. Mama tahu Abang sebak, mama tahu Abang cuba menahan perasaan sedih Abang setabah mungkin. "Kalau papa ada, dada Abang tak sakit..." rintihan Abang yang ini tidak mama dengari dengan jelas kerana Abang sudah mula menangis. Mama minta Abang ulang beberapa kali. Bila mama dengar ungkapan Abang, mama menahan airmata dari mengalir..

Mama pujuk Abang naik tidur atas katil bersama-sama adik2 yang lain. Abang menggeleng kepala. Mungkin tengok sebelah tangan mama menghayun buai, sebelah tangan lagi menggosok-gosok belakang Jat yang panas. Manakala Syafiq pula tidur di atas riba mama. "Abang menangisla, tak pe..." pujuk mama. Abang menangis teresak-esak. Jat dan Iman dah tidur. Syafiq pula tiba2 ajak mama tidur di bawah. Cepat2 mama ambil baju papa yang tidak dibasuh dan selimutkan Abang yang sedang menangis. Tangisan Abang reda. Syafiq sudah terlelap. Akhirnya, Abang tertidur sambil memeluk baju papa..

Mata mama tidak mahu lelap walaupun jam sudah pukul 11 malam. Mama baring ditepi Abang sambil memeluk Abang. Airmata mama mengalir. Mama terkenang kembali, papa bertolak ke Arab Saudi dalam cuti sekolah. Hari Isnin permulaan sekolah, Abang sebak yang teramat sangat. Abang tak nak masuk beratur perhimpunan pagi. Puas mama pujuk. Melihat Abang tidak dapat menahan sebak, mama bawa Abang ke Petronas untuk isi minyak. Dalam kereta Abang diam saja. Bila sampai di stesen Petronas, Ayah Cik turun isi minyak, Abang dengan Jat seperti biasa akan mengelap cermin kereta sepertimana papa sentiasa buat bila papa isi minyak. Bila lihat Abang dan Jat gelak2, mama rasa lega. Mama sengaja lewatkan Abang ke sekolah supaya Abang rasa tenang. Bila nampak abang dah ok, mama terus hantar Abang ke kelas.

Hari Selasa, Abang ok.

Hari Rabu, sekali lagi Abang tak dapat menahan rasa sebak di dada bila mama hantar Abang untuk join perhimpunan pagi. Mama dan Abang berdiri di sebalik tiang yang besar. "Abang ok tak?" tanya mama. "Abang tak ok.., dada Abang rasa sakit." Mama gosok2 tangan Abang yang sejuk. Bila nampak Abang tak dapat menahan rasa sebak, mama teringat mama belum kasi wang saku pada Abang lagi. Mama pimpin Abang ke kereta untuk ambil wang saku. Kata Abang, "Mama, Abang tak pandai kat sekolah ni, Abang pandai di sekolah Dzuliman aje. Abang tak nak sekolah sini." Mama pujuk Abang yang Abang takkan lama sekolah kat sini. Nanti Abang akan bersekolah di Arab Saudi. Abang mengangguk-anggukkan kepala. Mama pimpin Abang kembali ke perhimpunan pagi.

Mama tanya Abang lagi, "Abang ok tak?". "Abang tak ok lagi. Badan Abang rasa panas mama.." Abang sebak kembali. "Jom, mama bawa Abang masuk barisan." Mama pimpin Abang masuk barisan. Abang duduk dalam barisan. "Badan Abang rasa panas mama,..badan Abang rasa panas mama..". Abang semakin sebak. Mama pujuk Abang, "Kejap lagi bila angin datang, badan Abang akan rasa sejuk..". Abang tarik kopiah Abang dan menutup muka supaya kawan-kawan tak lihat Abang menangis. Mama pujuk Abang lagi, "Abang, it's ok..". Mama pegang tangan Abang dan gosok-gosok belakang Abang. Bila mama lihat Abang menahan rasa sebak dan badan Abang mula bergoyang-goyang. Mama peluk Abang. "Abang it's ok..Abang doala pada Allah, Abang minta Allah make Abang happy. Lepas tu Abang take a deep breath..ok." Abang angguk. "Mama kena pergi sekarang, nanti adik Iman menangis, ok?" Abang angguk lagi. "Nanti bila balik sekolah kita makan sama-sama kat kantin sekolah Abang ye?" Abang angguk dan kelihatan reda. "Mama datang ambil Abang awal ye?" ujar Abang. "Ok, mama datang ambil Abang awal."

Mama terpaksa tinggalkan Abang namun mama berdoa semoga Allah swt tenangkan hati Abang. Bila tiba waktu pulang dari sekolah, mama cepat2 ke sekolah Abang. Abang melompat-lompat datang ke kereta. "Mama tadi mama cakap kita makan sama-sama kat kantin sekolah Abang?". "Abang beli kat mama, lepas tu kita makan sama-sama dalam kereta boleh? Mama susah nak bawa adik Iman dengan Syafiq..". "Ok" Abang tersenyum. Abang hilang dari pandangan mama. Bila Abang sampai semula, Abang beli nugget dan mama makan bersama-sama Abang dalam kereta. "Mama...tadi dalam kelas Abang dah smile, Abang doa kat Allah supaya make Abang happy. Lepas tu Abang tarik nafas. Lepas tu badan Abang tak panas lagi..."

Dalam mama menangis dan terkenangkan kisah Abang itu, tiba-tiba telefon berdering. Mama angkat dan suara yang amat mama dan anak-anak rindui kedengaran. "Selsema ke?" tanya orang yang dicintai. "Tak... baru lepas menangis.." Dalam sebak mama ceritakan perasaan hati anak-anak mama as if he is just next to me...